Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung hari ini mengumumkan meletakkan jawatan sebagai ahli majlis pimpinan pusat (MPP) PKR.
Lee yang dilihat sebagai antara penyokong bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli - yang kini menerajui parti serpihan Parti Bersama Malaysia (Bersama) - bagaimanapun berkata dia kekal sebagai ahli parti.
"Setelah 18 tahun menyertai PKR dan lapan tahun menyandang jawatan di peringkat pusat parti, hari ini saya secara rasmi meletakkan jawatan sebagai ahli MPP.
"Namun saya kekal sebagai anggota parti dan akan terus menjalankan tugas sebagai anggota Dewan Rakyat sehingga parlimen dibubarkan," katanya dalam kenyataan media.
Lee yang turut hadir majlis pengumuman pengambilalihan Bersama oleh Rafizi dan bekas naib presiden Nik Nazmi Nik Ahmad sebelum ini dilihat berdepan tekanan dari dalam parti.
Ini termasuklah sekatan akses portal dalam talian MyKhas, yang antara lain digunakan untuk menguruskan peruntukan pembangunan kawasan.
Timbalan Setiausaha Agung PKR, Bryan Ng mempertahankan sekatan itu - yang turut dikenakan kepada seorang lagi ahli parlimen pro-Rafizi, Ahli Parlimen Subang Wong Chen - sebagai akibat "pilihan politik mereka sendiri".
Dalam kenyataan panjang hari ini, Lee menyorot perjalanannya bersama PKR dari 2008 ketika mula-mula berkhidmat sebagai pegawai penyelidik di pejabat presiden parti, Anwar Ibrahim yang merupakan ketua pembangkang ketika itu.
“PKR pada waktu itu tidak mengamalkan budaya di mana ‘pemimpin pusat turun sebagai calon payung terjun, menabur wang dengan sumber yang dikuasai’ pada waktu itu,” katanya.
Bekas ketua penerangan Pemuda PKR (AMK) itu juga mendakwa PKR hari ini bukan lagi PKR yang dikenalinya dahulu.
“Barisan kepimpinan, demi mempertahankan kedudukan masing-masing, tidak sanggup tampil untuk membetulkan kesilapan parti.
“Saya sudah tidak mampu lagi untuk terus berada dalam kepimpinan dan bekerjasama dengan mereka,” katanya.
“Kini, Anwar telah menjadi perdana menteri. Namun, pengundi di kawasan Parlimen Petaling Jaya yang saya wakili telah dihukum pada 29 Mei 2026 apabila akses kepada sistem MyKhas dibatalkan, menyebabkan kami tidak lagi dapat meneruskan urusan peruntukan kawasan dan Program Mesra Rakyat,” tambahnya.
Lee juga menyorot kenyataan Ng dan mendakwa PKR masih belum memberikan sebarang penjelasan rasmi kepadanya berhubung sekatan ke portal MyKhas.
Ng sebelum ini berkata kerajaan berhak menguruskan dana awamnya melalui "melalui saluran alternatif yang teratur" bagi memastikan ia "tidak ditiriskan untuk membiayai gerak kerja akar umbi sebuah parti lawan yang baharu setahun jagung."
Katanya, jika Lee dan Wong mahu bertindak sebagai ahli parlimen pembangkang secara de facto, mereka bebas bertindak demikian namun tidak akan dibenarkan menggunakan jentera pentadbiran serta dana awam milik kerajaan yang sedang mereka cuba tumbangkan.
